Covid-19: RM6.3 juta kos saringan warga asing

KERAJAAN sudah membelanjakan sekurang-kurangnya RM6.3 juta untuk melakukan saringan Covid-19 kepada 21,271 warga asing sepanjang penularan pandemik itu di negara ini.

Ia berdasarkan anggaran kos RM300 bagi setiap seorang yang menjalani saringan termasuk swab test atau calitan tekak untuk sekali saringan.

Sekiranya saringan dijalankan lebih daripada sekali, kos yang ditanggung untuk warga asing berkenaan menjadi lebih tinggi, malah ia belum dikira dengan pembiayaan bagi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 21,271 bukan warga negara sudah disaring pihaknya setakat ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 811 kes dikesan positif Covid-19 atau bersamaan 3.8 peratus.

“Warga asing yang masih dalam rawatan seramai 376 orang iaitu 46.4 peratus, sembuh (bukan warganegara) 432 atau 53.1 peratus.

“Ada empat kematian iaitu 0.5 peratus membabitkan warga asing daripada jumlah keseluruhan kes direkodkan di Malaysia,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah warga asing sudah disaring Covid-19 dan kos terpaksa ditanggung kerajaan untuk melaksanakan proses saringan itu.

Mengulas lanjut, katanya, anggaran kos bagi proses saringan berkenaan adalah antara RM200 hingga RM300 untuk setiap seorang.

Katanya, individu yang menjalani saringan di pusat perubatan dan hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dikenakan bayaran sebaliknya kos itu ditanggung kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19