WDW serius bina reputasi

MEMASUKI tahun kelima berada dalam industri, tiada siapa dapat menidakkan aura kumpulan Why Don’t We (WDW) yang berasal dari Amerika Syarikat (AS). Hakikatnya, merekalah ‘boyband’ paling berpengaruh pada saat ini.

Dianggotai Jonah Marias, Daniel Seavey, Corbyn Besson, Jack Avery dan Zach Herron, kejayaan demi kejayaan diraih mengisi profil kerjaya mereka. Bukan sekadar populariti, lagu demi lagu dihasilkan cukup fenomena.

Itulah gambaran tepat untuk WDW apabila berbicara mengenai legasi dibina sepantas kilat. Kumpulan ini tidak mengambil mudah mengenai kewujudan mereka. Setiap perkara membabitkan kerjaya, dilaksanakan sepenuh jiwa.

Demikian juga dengan penghasilan album baharu berjudul The Good Times and The Bad Ones. Dilancarkan baru-baru ini, diskografi berkenaan adalah alibi kukuh betapa seriusnya mereka memastikan reputasi WDW dibina atas kualiti.

RAP sempat menemu bual tiga anggotanya iaitu Seavey, Beeson dan Avery sempena buah tangan terbaharu itu. Menurut Seavey, tanpa disangka prosesnya ternyata mengambil masa berikutan pandemik Covid-19 yang menimpa sejak Mac tahun lalu.

“Ya, memang situasi itu agak mencabar kami dalam menyiapkan album itu. Rupanya, ia mengambil masa yang lebih lama tidak seperti dijadualkan. Kami ingatkan, ia akan siap pada April tahun lalu yang paling cepat.

“Kemudian, pandemik ini berlaku dan prosesnya bertambah lagi enam bulan tanpa kami ketahui sama ada selamat atau tidak untuk merakamnya lagi. Ia sangat sukar, tapi akhirnya kini berada di pasaran dan itu sahajalah yang paling penting,” katanya.

Seperkara mengenai WDW, kumpulan ini sendiri suka masuk campur dalam penghasilan setiap karya mereka. Tidak hairanlah aura lagu-lagu mereka lebih terserlah dengan penjiwaan yang hidup.

Bahkan, corak berkarya mereka sememangnya mengagumkan ramai dan mendapat pujian. Justeru, mereka melangkah setapak lagi dalam penghasilan album ini dengan menulis serta menerbitkan rata-rata semua lagu sendiri.

“Kami sendiri yang memutuskan penghasilan album ini sebaik mengambil keputusan untuk menyepi sebentar pada hujung 2019. Memasuki 2020 pula, kami sudah ada beberapa lagu dalam simpanan.

“Kemudian kami masuk studio mengikut perancangan untuk merakam beberapa lagu seperti yang diatur pihak label. Sebaliknya, kami akhirnya hasilkan sendiri lagu-lagu itu yang rupanya sangat bagus dan istimewa.

“Seluruh jiwa disalurkan dan itulah misi kami untuk menulis dan menerbitkan keseluruhan lagu demi membuktikan diri kami bagus. Ia jelas berhasil, apabila sebahagian daripada lagu dalam album itu kami tulis sebaik kuarantin dilaksanakan,” kata Beeson pula.

Bercerita lanjut mengenai proses produksi lagu itu, Seavey mengakui ada ketika keseronokannya lebih terasa apabila tidak mengikut sebarang garis panduan. Baginya, daripada situlah eksperimen dilakukan sebenarnya bertukar magis.

Turut bekerjasama dengan beberapa nama penerbit muzik handalan termasuk Skrillex dan Timbaland, WDW akui sangat bertuah. Namun begitu, mereka sedikit terkilan tidak dapat bertemu penerbit muzik berkenaan secara peribadi disebabkan kekangan pandemik.

“Produksi dalam cara yang pelik sangat, menyeronokkan bagi saya. Artistik itu ibarat teka-teki di mana jika kamu boleh menghayati lirik dan melodi sesebuah lagu, magis berlaku. Ada peraturan yang perlu dipatuhi dalam produksi. Bagaimanapun, saya lebih suka apabila tidak mengikut apa-apa peraturan pada satu-satu masa. Saya rasa lebih bebas dan tercabar.

“Menyedihkan apabila kami tidak dapat jumpa mereka (Skrillex dan Timbaland) demi faktor keselamatan. Jurutera kami, Jason Joshua yang melakukan ‘mixing’ dan ‘mastering’ album itu memiliki jaringan sangat hebat dalam industri. Pembabitan mereka ternyata memberikan pelbagai rasa dalam setiap lagu yang mendapat sentuhan masing-masing,” katanya.

MENYIMPAN hasrat untuk bekerjasama dengan BTS.
MENYIMPAN hasrat untuk bekerjasama dengan BTS.

Impi kerjasama dengan BTS

Sebagai artis generasi kini, WDW juga tidak melepaskan peluang untuk mengikat kerjasama dengan bintang K-Pop iaitu AB6IX. Menerusi sebuah ‘remix’, kerjasama itu sekali gus mengukuhkan lagi jaringan peminat mereka dalam kalangan muda-mudi.

Bercerita mengenai kerjasama itu, Beeson mengakui kagum dengan corak kerja kumpulan terbabit. Selain AB6IX, mereka juga menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan kumpulan paling fenomena Korea Selatan iaitu BTS pula selepas ini.

“Kami suka BTS. Kami nak sangat menari bersama mereka. Untuk AB6IX pula, mereka sememangnya sangat hebat. Kejayaan mereka sangat luar biasa dan kami berbesar hati apabila diminati mereka.

“Kumpulan itu turut serta dalam album ini dengan menawarkan kehebatan mereka. Peminat K-Pop jelas sangat sukakannya dan sambutan itu sememangnya terlalu besar. Terima kasih kepada anggotanya yang sangat menyenangkan,” katanya.

Dalam pada itu, WDW juga berharap keadaan dunia akan kembali pulih dan pandemik Covid-19 berakhir secepatnya. Mereka juga mengakui gian untuk kembali mengelilingi dunia melakukan siri jelajah.

“Bagi tahun ini, kami rancang untuk terus menghasilkan muzik sahaja. Sekarang sudah lancarkan album, kami tidak tunggu lama untuk kembali menulis lagu. Kami mahu hasilkan muzik yang mampu mengatasi album ini sendiri.

“Semestinya, ada juga perancangan lain yang akan datang. Sekarang kami cuma menunggu masa untuk kembali mengadakan siri jelajah. Harapnya pada awal 2022 kalau boleh dan semoga semuanya dipermudahkan,” katanya.