Annuar Musa mahu bertenang dulu

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Umno yang memberi peluang untuknya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung BN, sebelum ini.

Dalam satu tangkap layar WhatsApp yang dikongsi dalam ciapan di Twitter beliau sebentar tadi, Annuar menjelaskan dimaklumkan mengenai berita pemecatannya daripada jawatan itu menerusi media.

“Saya diberitahu oleh media… saya dipecat sebagai SUA (Setiausaha Agung) BN dan SUA MN (Setiausaha Agung Muafakat Nasional).

“Saya ucapkan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua-dua jawatan itu sebelum ini,” katanya dalam WhatsApp itu yang difahamkan dikirimkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan juga memaklumkan tidak akan memberi sebarang komen berhubung pemecatan itu buat masa ini.

“Ramai yang minta komen… saya tiada apa komen buat masa ini… tempoh bertenang,” katanya.

Hari ini, BN memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan akan mengambil tugas Annuar.

Keputusan memecat itu dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid di ibu pejabat Umno, hari ini.

Annuar sebelum ini dikritik hebat akar umbi Umno yang mengaitkan beliau kononnya membawa suara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam BN.