Tuah kuasai tiga bahasa asing

Kuala Lumpur: Kemampuan menguasai tiga bahasa asing iaitu Bahasa Inggeris, Cina dan Arab membolehkan penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang Perbankan Islam, Muhd Rizq Abdul Aziz tersenarai sebagai Duta Keamanan Dunia 2020 hingga 2022.

Penghargaan itu akan disampaikan di Persidangan Global Peace Chain di Istanbul, Turki pada 15 hingga 18 Oktober depan.

Muhd Rizq, 33, yang juga bekas peguam berkata, peluang membawa nama Malaysia di persada antarabangsa itu cukup berharga.

“Syukur pada Allah atas peluang ini dan rasa terharu terpilih mewakili negara dalam persidangan peringkat antarabangsa.

“Apa yang penting tumpuan kepada dialog mengenai keamanan sejagat akan dikongsikan nanti dan sedikit sebanyak dapat memperkenalkan budaya negara kita di mata dunia,” katanya.

Menurutnya, Global Peace Chain adalah organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat yang aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan keamanan sejagat melalui Dialog Keamanan oleh wakil pelbagai negara selari dengan misi serta visi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anak jati Kelantan itu aktif mengajar dan berkongsi ilmu bahasa dikuasainya di saluran YouTube miliknya, Rizq Aziz Official.

Menurutnya, walaupun menguasai tiga bahasa asing, dia tetap menyanjung bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi.

“Saya amat bersetuju dengan kata-kata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok iaitu ‘bahasa menunjukkan bangsa’.

“Memetik kata-kata itu, saya percaya jati diri kuat dapat dipupuk melalui penguasaan bahasa ibunda terlebih dulu sebelum seseorang itu menguasai bahasa asing lain.

“Namun, malangnya segelintir masyarakat, ramai mengagungkan bahasa Inggeris melebihi bahasa ibunda,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia berhasrat dapat mengubah dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap bahasa ibunda.

Menurutnya, bagi mencapai keamanan berterusan, kita memerlukan lebih ramai prihatin terhadap isu perpaduan.

“Melalui penguasaan suatu bahasa, kita dapat menyelami budaya mereka seterusnya membina hubungan lebih erat dengan masyarakat pelbagai kaum.

“Persiapan ke Istanbul, bulan depan masih tergendala berikutan kekurangan bajet dan risiko Covid-19 dan kini saya masih menunggu kelulusan kerajaan membenarkan ke Turki.

“Kos penerbangan hampir RM7,000 tidak termasuk perbelanjaan dan kos kuarantin wajib selepas pulang dari sana,” katanya.

Terdahulu, Muhd Rizq pernah tular menerusi video ucapan ulang tahun ke-60 Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menggabungkan pantun Melayu dan sajak Mandarin serta tulisan jawi dan Cina.