Terkena sejadah je pun, tak perlulah mengamuk dalam masjid… [METROTV]

LELAKI diambil keterangan susulan video seorang jemaah ditampar dan ditendang pada bahagian muka di dalam Masjid Felda Palong Tujuh, Jempol, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, suspek berusia 60-an sudah dipanggil bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas solat Isyak di masjid itu pada 24 Ogos lalu, ketika mangsa berusia 62 tahun berjalan di belakang suspek sambil membawa sejadah dan ia terkena belakang suspek.

“Ia menimbulkan kemarahan suspek sebelum bangun dan terus menampar serta menendang muka mangsa.

“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai seorang yang panas baran dan sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jemaah masjid dan masyarakat setempat.

“Selepas kejadian suspek pergi ke rumah mangsa dan memohon maaf selain mahu menyelesaikan isu dengan cara baik, tetapi ditolak keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Khairiel berkata, keluarga mangsa mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap perbuatan suspek.

SUSPEK menampar dan menyepak muka mangsa di dalam masjid. FOTO ihsan polis.
SUSPEK menampar dan menyepak muka mangsa di dalam masjid. FOTO ihsan polis.

Video kejadian itu tular di media sosial dan ramai kesal kerana kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di dalam masjid.

Netizen turut berharap polis dapat mengambil tindakan tegas terhadap suspek seterusnya mengelak kejadian serupa berulang.