‘Saya sentiasa rindukan dua anak saya’

“RINDU seorang ibu kepada anaknya pasti ada, namun saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Emmy Farizah Abd Aziz, 40.

Dia adalah ibu kepada dua beradik, Allahyarham Azkar Abiedi F Zaska dan Allahyarham Azkar Dariemi yang terkorban dalam kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, hampir tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia sekeluarga menerima keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, dengan berlapang dada.

Dia berkata, hanya adiknya iaitu Nor Azlin Abdul Aziz, 39, ibu kepada Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan yang turut terkorban dalam kejadian berkenaan mengikuti keputusan kes itu di mahkamah kerana dia bekerja.

“Dah lama saya maafkan (tertuduh) kerana dia masih budak-budak.

“Saya berharap keputusan mahkamah itu memberi kesan yang baik kepada dirinya dan menjadi contoh kepada orang lain supaya tidak mengulangi kesilapan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Emmy yang menetap di Bangi berkata, dia kerap menziarahi pusara dua anaknya yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, bagi menghilangkan rasa rindu kepada mereka.

Dia berharap orang ramai berhenti mengaitkan pusat tahfiz sebagai punca berlakunya tragedi malang itu.

Berita berkaitan

• ‘Saya maaf dan doakan dia’ – ibu mangsa kebakaran tahfiz

• Timbalan Pendakwa Raya sebak

• Remaja bakar tahfiz dipenjara hingga dapat pengampunan Agong