‘Sado’ cara bahaya!

IDAMKAN tubuh berotot dan ‘sado’ dalam tempoh singkat tanpa perlu penat bersenam?

Malah pelanggan berminat hanya perlu memakan pil atau mengambil suntikan cecair steroid anabolik buatan Siam yang dijual melalui kaedah pemasaran dalam talian.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar pihak Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, semalam.

Sumber berkata, hasil maklumat diperoleh, seramai 40 pegawai KKM melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi sebelum berjaya melumpuhkan sindiket penjualan steroid anabolik secara dalam talian (e-dagang & media sosial) di sekitar bandar Melaka.

“Serbuan dilakukan terhadap dua kediaman dijadikan pusat pengedaran pil itu ke seluruh negara.

“Malah lima gimnasium yang dikesan memasarkan produk itu turut diserbu dalam operasi khas jam 3.30 petang semalam,” katanya.

Menurutnya, rampasan itu disifatkan antara yang terbesar CPF tahun ini membabitkan pelbagai produk ubat-ubatan tidak berdaftar dan seludup dianggar bernilai hampir RM10 juta.

“Rampasan turut membabitkan pelbagai produk ubat-ubatan lain yang diseludup dari negara jiran dan turut dipasarkan melalui dalam talian.

“Dalam serbuan itu, suspek lelaki berusia 29 tahun yang cuba ditahan di salah sebuah rumah diserbu bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Suspek yang memandu kereta itu bertindak memecut dan hampir melanggar seorang anggota KKM yang terbabit dalam serbuan.

“Malah seorang pegawai CPF turut mengalami kecederaan kecil ketika cuba menghalang suspek daripada melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, semua bahan kimia itu adalah racun berjadual yang dikawal mengikut Akta Racun 1952. Siasatan lanjut ke atas semua premis akan diteruskan mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Jelasnya, perbuatan memiliki atau menjual produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Bahan steroid anabolik disahkan boleh menyebabkan pembekuan darah, kanser, kecacatan pada janin, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit bahaya lain,” katanya.

KKM sebelum ini turut pernah membongkar kegiatan penjualan suntikan cecair anabolik steroid yang popular dalam kalangan ‘kaki’ gimnasium dan selebriti tempatan melalui operasi Op Sado dijalankan di negeri ini.