Polis cari penjaga kanak-kanak pandu treler pula [METROTV]

Seremban: Selepas seorang bapa membenarkan anak lelakinya berusia sembilan tahun memandu Proton Saga di Kampung Bongek, Rembau, tular pula insiden sama apabila menyaksikan seorang kanak-kanak memandu sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, hasil semakan pihaknya mendapati kejadian berkenaan berlaku di Rantau, dekat sini.

“Kejadian berlaku pada 4.41 petang semalam menerusi satu video tular berdurasi 1.18 minit memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur dirakam sedang memandu sebuah treler jenis Hino.

“Kejadian berlaku di kawasan Rantau, Seremban dan satu laporan polis diterima berkait video yang tular itu kerana bapa kanak-kanak terbabit dengan cuai membiarkan anak bawah umur memandu treler.

“Kita sedang mengesan bapa kepada kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut termasuk umur kanak-kanak terbabit masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 53 saat di Facebook (FB) bertajuk ‘Handa orang Rombau haa’, yang memaparkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun memandu Proton Saga.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, bapa kepada kanak-kanak berkenaan dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit memandu kereta berkenaan tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berusia 47 tahun di Kampung Bongek, Rembau.

“Namun bapa kanak-kanak berkenaan dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

• Pemilik Proton Saga disaman polis

• ‘Handa orang Rombau haa’ [METROTV]