PKP: Lagi banyak sekatan di Fasa II [METROTV]

KERAJAAN akan memperbanyakkan sekatan dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berbeza daripada tahap pertama ketika ini, namun masih membenarkan pergerakan dari segi kawalan masa.

Katanya, antara yang akan dilaksanakan adalah membabitkan premis perniagaan, restoran yang dibenarkan beroperasi dari 8 pagi sehingga 8 malam.

ANGGOTA polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di sekatan jalan raya Kota Bharu pada 25 Mac lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di sekatan jalan raya Kota Bharu pada 25 Mac lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Waktu operasi premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian adalah dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi restoran dan gerai makan, walaupun yang kita benarkan beroperasi secara bungkusan, waktunya adalah daripada 8 pagi hingga 8 malam.

“Operasi stesen minyak juga daripada 8 pagi hingga 8 malam. Jadi waktu operasi yang menjual barangan dan makanan, standard dari 8 pagi hingga 8 malam,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, ia berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan seperti di Simpang Renggam dan Hulu Langat dan untuk fasa kedua ini, orang ramai masih lagi boleh keluar, namun orang ramai digalakkan menggunakan khidmat penghantaran dalam talian.

Katanya orang ramai dinasihatkan agar tidak bersemuka dengan penghantar makanan dan hanya mengambil makanan yang ditinggalkan di luar bagi mengelakkan pertemuan secara bersemuka.

“Waktu operasi pengangkutan awam kita kekalkan dari 6 pagi hingga 10 pagi dan dari 5 petang hingga 10 malam.

“Kecuali e-hailing yang kita benarkan beroperasi secara berterusan daripada 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mentapkan harga siling bagi penutup mulut dan hidung pada harga RM1.50, berbeza 50 sen dari harga awal yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan juga akan mengkaji harga siling itu berdasarkan perkembangan semasa kerana negara terikat dengan harga import.

Beliau turut memaklumkan sehingga semalam polis menahan 828 individu di sekatan jalan raya dan rondaan kerana melanggar PKP.

Katanya, sejumlah 257,287 kenderaan diperiksa dan 23 sekatan jalan raya di plaza tol sebelum ini ditingkatkan kepada 65, seterusnya di 114 plaza tol di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan