Perodua Alza masuk laluan bertentangan sebelum terbalik

POLIS sedang mengenalpasti identiti tujuh maut dan tiga cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dengan treler di Kilometer 5, Jalan Keramat Simpang Pulai, Ipoh menghala ke Cameron Highlands, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil siasatan awal mangsa semua yang maut di dalam Perodua Alza itu dipercayai mempunyai ikatan kekeluargaan dan beralamat di mukim Terap Kampung Badlishah, Serdang, Kedah.

Beliau berkata, tujuh mangsa maut itu adalah dua lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan dua kanak-kanak.

“Mereka ada kaitan (keluarga), kita masih mengenalpasti hubungan antara mangsa dan akan memaklumkan selepas kita berjaya menghubungi waris keluarga.

“Polis sudah menghubungi pemilik kenderaan untuk mendapatkan keterangan dan pihak keluarga sudah dihubungi untuk mendapatkan kerjasama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini.

KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

A Asmadi berkata, pihak polis yang mendapat maklumat kejadian pada 5.30 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis bertindak serta-merta dan bomba mengeluarkan semua mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Hasil siasatan awal dipercayai Perodua Alza turun dari Cameron Highlands dalam perjalanan balik ke Kedah sebelum terbabas masuk ke lorong bertentangan kemudian melanggar treler.

“Difahamkan pemandu treler cuba mengelak ke kiri, tetapi gagal sebelum terlanggar MPV itu,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler tidak cedera dan terkejut kerana Perodua Alza itu masuk ke laluan bertentangan sebelum terbalik secara tiba-tiba.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan dan mengesahkan fakta kes.

Berita berkaitan

• ‘7 maut MPV bertembung lori’