‘Mulianya hatimu Shanmugham’

Kuala Lumpur: Tindakan mulia seorang pemandu lori yang memulangkan semula beg berisi barangan berharga yang ditemui ibarat seorang dalam seribu.

Pemilik beg berkenaan, Mohd Izwan Shah Ismail, 38, berkata, dia bersyukur kerana barang peribadinya ditemui seorang yang jujur dan berhati mulia seperti M Shanmugham.

Mohd Izwan yang bekerja sebagai perunding syarikat telekomunikasi berkata, dia langsung tidak menyedari beg itu tercicir, sehingga dihubungi Shanmugham.

“Saya anggarkan beg itu tercicir jam 3 pagi pada 16 September lalu ketika baru pulang dari program syarikat di Jasin, Melaka.

“Perjalanan jauh dan terlalu mengantuk menyebabkan saya tidak perasan beg tercicir berhampiran tempat letak kereta kediaman di Taman Sri Sentosa, Klang, Selangor,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Mohd Izwan berkata, pada hari sama, Shanmugham ada menghubunginya sebanyak enam kali, tetapi tidak dijawab kerana tidak menyedarinya.

Menurutnya, Shanmugham memaklumkan beg itu ditemui ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal pada jam 6 pagi hari sama beg itu tercicir.

“Shanmugham menghubungi saya selepas mendapatkan nombor telefon daripada cop jawatan yang ada dalam beg itu.

“Sebenarnya, kami tinggal berdekatan namun tidak pernah kenal antara satu sama lain kerana saya balik kerja tengah malam, manakala Shanmugham pula keluar kerja awal pagi,” katanya.

Menurutnya, beg itu mempunyai 20 keping kad sim belum berdaftar, cop jawatan, buku zikir, telefon kerja berjenama terkenal, wang RM10 dan kunci pendua Perodua Viva serta Toyota Vios.

“Syukur, Allah pertemukan saya dengan Shanmugham yang sanggup memulangkan semula beg berkenaan.

“Jarang kita dengar beg yang tercicir dijumpai semula. Apatah lagi dalam beg itu ada dua kunci kereta dan jika yang menemui beg itu bukan orang baik kemungkinan besar kereta saya boleh dicuri,” katanya.

Mohd Izwan yang turut mengusahakan perniagaan pakaian berkata, dia ingin memberi wang ganjaran di atas kejujuran Shanmugham memulangkan semula beg itu, tetapi ditolak dengan baik.

Terdahulu, Mohd Izwan memuat naik kisah begnya yang tercicir dan dipulangkan semula oleh pemandu lori di Facebook miliknya.

Perkongsian itu mendapat reaksi positif warganet memuji kejujuran Shanmugham memulangkan semula barangan yang ditemuinya sehingga dikongsi hampir 2,000 pengikutnya di Facebook, setakat ini.