Menanti hari bahagia

SELEPAS hampir empat tahun berkenalan rapat, pasangan selebriti Syamel dan Ernie Zakri akhirnya mengambil keputusan untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius iaitu bertunang.

Mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos lalu, pasangan ini dilihat sudah mula mengatur pelbagai persiapan sebelum menghalalkan hubungan yang dibina.

Walaupun enggan mendedahkan tarikh rasmi pernikahan mereka, namun Ernie memberitahu segala persiapan menuju ke gerbang perkahwinan sudah diatur rapi.

“Alhamdulillah segala persiapan untuk majlis pernikahan dan resepsi sudah disusun dengan cantik dan hanya menanti tarikh bahagianya saja. Saya dan Syamel sudah memperuntukkan sejumlah wang kepada perancang perkahwinan. Jadi, mereka yang akan menguruskan segala-galanya bagi memudahkan urusan kami nanti.

“Apa yang pasti, majlis perkahwinan kami dirancang dengan sebaiknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana wabak Covid-19 ini. Dalam keadaan sekarang memang tak boleh buat majlis secara besar-besaran pun kerana jemputan tak boleh ramai. Insya-Allah kami akan mengadakan dua majlis resepsi bersama keluarga serta rakan-rakan selebriti dan media,” katanya.

Menurut Ernie, sekiranya keadaan mengizinkan, mereka turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi bersama peminat namun semuanya bergantung kepada keadaan dan SOP yang ditetapkan kerajaan.

ERNIE bersama tunangnya, Syamel dan rakan kongsi, Sharizan Salleh pada majlis pelancaran Se-Table Cafe milik mereka di Platinum Walk, Setapak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ERNIE bersama tunangnya, Syamel dan rakan kongsi, Sharizan Salleh pada majlis pelancaran Se-Table Cafe milik mereka di Platinum Walk, Setapak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Sama-sama usahakan kafe

Siapa sangka, walaupun belum mendirikan rumah tangga, pasangan ini sudah membuat persiapan untuk masa depan mereka nanti.

Memiliki populariti luar biasa, impian Syamel dan Ernie untuk membuka sebuah kafe akhirnya tercapai dengan wujudnya Se-Table cafe di Platinum Park, Setapak, Kuala Lumpur.

Ernie berkata, idea untuk membuka kafe terbabit disuarakan Syamel yang teringin memiliki kafe sendiri.

“Alhamdulillah, impian kami untuk membuka kafe dimakbulkan Allah dan semuanya berjalan seperti dirancang. Walaupun pada awalnya kami ingin menangguhkan pelancaran kafe ini kerana keadaan yang tidak mengizinkan, tapi kami kasihan melihat vendor yang berdepan masalah kewangan apabila tidak dapat menjalankan perniagaan mereka.

“Jadi kami ambil langkah untuk melancarkannya Sabtu lalu supaya vendor-vendor yang bersama dengan Se-Table kafe dapat berniaga dan menjana pendapatan. Setakat ini sudah hampir lima vendor yang bersama kami dan kafe juga sudah mula beroperasi setiap Selasa hingga Ahad.

“Sebagai langkah persiapan untuk masa depan, kami menggunakan wang simpanan untuk membuka kafe ini. Idea ini tercetus daripada Syamel yang berhajat untuk membuka sebuah kedai makan.

“Melihat dirinya yang suka makan dan mempunyai cita rasa tersendiri, saya ambil keputusan untuk bersamanya walaupun tiada pengalaman dalam perniagaan. Namun, kami bersama-sama belajar dan cuba menguruskan perniagaan ini,” katanya.

Menurut Ernie, kebanyakan urusan membabitkan kafe diuruskan Syamel memandangkan rumahnya berhampiran kafe terbabit.

“Berkaitan urusan kafe banyak hal diuruskan oleh Syamel tapi boleh dikatakan hampir setiap hari kami b

erdua berada di kafe terutama pada waktu malam.

“Insya-Allah kami akan kerap berada di situ memandang

kan peminat yang datang pun nak jumpa kami. Jadi kami akan cuba meluangkan masa sekerap yang boleh,” katanya.

Katanya, modal yang dikeluarkan untuk membuka kafe terbabit tidak menggunakan wang perkahwinan yang dirancang lebih awal.

“Syukur kos untuk perkahwinan saya sudah asingkannya awal-awal lagi. Memang diakui membuka kafe memerlukan modal yang besar namun kami ingin menguruskannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menyentuh mengenai karier seni, Ernie berkata, dia bakal memasuki studio untuk merakam single terbaharunya bergenre balada.

“Insya-Allah hujung bulan ini saya akan merakam single baharu. Saya masih mengekalkan genre balada tapi ada sedikit sentuhan moden.

“Selain itu, saya dan Syamel juga akan keluarkan single duet tahun depan. Kami juga dalam perancangan untuk mengeluarkan lagu perkahwinan kami memandangkan ramai yang memintanya. Namun semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.