‘Itu tanggujawab saya’

Petaling Jaya: “Itu tanggujawab saya. Sekarang saya ada jawatan dan sedikit kuasa jadi saya gunakan ke arah kebaikan,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, tindakannya bukan untuk mempromosi jika seseorang tidak ada duit boleh mencuri sebaliknya ia adalah sifat perikemanusiaan.

“Kita belajar agama Islam sejak dari lahir lagi. Islam menuntut kita melakukan kebaikan jadi saya gunakan ke arah kebaikan.

“Malah ia bukan kali pertama berlaku. Pada bulan lalu ada seorang individu yang terdesak kerana kelaparan mencuri makanan bertin yang disangkakan sardin tetapi rupanya makanan anjing.

“Kita boleh lihat dia sebenarnya bukan penjenayah, punyalah gementar untuk mencuri sehingga menyangkakan ia sardin,” katanya kepada Harian Metro.

Nik Ezanee berkata, tugas hakiki polis adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam namun tindakan kebajikan dilakukan adalah sebagai nilai tambah dalam pasukan.

“Saya percaya jika kita mampu membasmi kemiskinan, InsayaAllah kadar jenayah secara tidak langsung akan menurun. Kalau ramai dah senang mereka tidak akan lakukan jenayah.

“Sebab itu didalam pasukan daerah Petaling Jaya saya menerapkan konsep lakukan kebaikan walaupun sekali sehari kerana ianya adalah percuma.

“Sebagai contoh, jika anggota sudah habis shif bekerja boleh membantu mereka yang belum selesai tugas, ada banyak lagi kebaikan yang boleh dilakukan,”katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukannya bukan untuk menaikkan nama mana-mana individu namun hanya menjalankan tanggungjawab.

“Masyarakat juga boleh membantu. Tidak semestinya wanita yang sudah tular itu tetapi lihatlah sekeliling kita, kejiran kita mesti ada yang perlukan bantuan.

“Saya mengucapkan terima kasih semua lapisan masyarakat di daerah Petaling Jaya kerana rata-rata dari mereka ikhlas menerima saya sejak hampir setahun di daerah ini,” katanya.


Baru-baru ini, seorang ibu terdesak hingga sanggup mencuri makanan dan plaster kebah demam bagi mengubati demam anaknya.

Khamis lalu, Nik Ezanee tampil membantunya termasuk tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukan wanita berusia 30-an itu.

Pihaknya turut menyampaikan bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan lain bagi membantu wanita berkenaan yang hidup sukar.

Berita berkaitan:

  • Ibu terdesak curi kerana anak demam dapat bantuan [METROTV]
  • ‘Saya hanya fikir anak kelaparan dan demam’ [METROTV]