Gelinya…

“SAYA mula terfikir untuk periksa peti sejuk selepas mendapati suis utama elektrik di rumah kami tertutup dan sangat terkejut dengan bau busuk menusuk ke hidung sebaik pintu dibuka,” kata Muhammad Adib Ayob, 23.

Muhammad Adib menceritakan bagaimana peti sejuk di rumah yang disewa bersama tujuh lagi rakannya di Shah Alam, Selangor dipenuhi ulat akibat bekalan elektrik terputus tanpa mereka sedari.

Semuanya selepas kelapan-lapan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu meninggalkan rumah sewa itu untuk pulang ke kediaman keluarga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Menurut Muhammad Adib, berbanding tujuh lagi rakan, hanya dia berasal dari Selangor di mana rumah keluarganya terletak di Klang kira-kira 30 minit dari kediaman yang disewa

“Rakan serumah masing-masing berasal dari Terengganu, Pahang dan Perak. Disebabkan itu, sebaik kerajaan umum pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB), saya ambil keputusan pulang ke rumah sewa untuk mengambil beberapa barang berkaitan kuliah.

“Saya jangkakan PKP tidak lama jadi saya tinggalkan kebanyakan barang berkaitan pengajian. Lagipun, saya menunggang motosikal jadi agak terhad untuk bawa pulang barang yang banyak.

“Apabila sampai di rumah sewa sekitar jam 12 tengah hari Isnin lalu, saya duduk sebentar untuk rehat dan cuba buka kipas tetapi ia tidak berpusing jadi saya mula terfikir untuk periksa suis elektrik utama.

“Ini kerana rumah kami sebelum ini pernah terputus bekalan elektrik apabila suis utama “tertendang” sendiri ketika petir jadi saya syak perkara sama berlaku kali ini,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad Adib menjelaskan, dia kemudian memutuskan untuk membuka peti sejuk memandangkan itulah kebiasaan perkara pertama yang akan diperiksa apabila bekalan elektrik tiada.

Penuntut tahun akhir Kejuruteraan Mekanikal ini berkata, sebelum sempat melihat ulat yang melata di seluruh ruang di dalam peti sejuk, dia terlebih dulu menghidu bau busuk sebaik pintunya dibuka.

“Memang tidak sangka langsung peti sejuk kami akan jadi seteruk ini. Hampir semua makanan rosak dan dipenuhi ulat.

“Selepas hubungi rakan serumah, kami putuskan untuk buang semua makanan di dalam peti sejuk itu tidak kiralah yang sudah rosak atau tidak. Kalaupun masih elok, ia sudah tentu dicemari bau yang sangat meloyakan, tidak mungkin kami ada selera lagi untuk makan.

“Selepas buang semua makanan termasuk susu pekat, sosej, nuget dan telur, saya juga buka pintu belakang rumah sewa kami supaya bau busuk itu lebih cepat hilang,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai tarikh tepat mereka akan kembali mengikuti sesi pengajian di kampus, Muhammad Adib berkata, setakat ini penuntut masih mengikuti pengajian secara atas talian sejak 12 April lalu.

Katanya, meskipun kuliah online itu agak terhad memandangkan jurusan diambil membabitkan latihan secara fizikal di bengkel, ia masih diteruskan untuk tugasan lain mengikut kesesuaian.

“Sejujurnya memang susah untuk bergantung kepada kuliah atas talian semata-mata kerana kebanyakan tugasan bidang pengajian saya dilakukan di bengkel kejuruteraan.

“Tetapi apapun, kita perlu akur dengan ketetapan kerajaan dan saya juga menunggu keputusan universiti sekiranya kami perlu kembali semula ke kampus untuk tugasan tertentu.

“Kami sendiri sudah bersedia andainya kuliah diadakan sepenuhnya secara dalam talian sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya.

Berkongsi gambar peti sejuk dipenuhi ulat itu di laman Twitter miliknya, hantaran terbabit tular dalam kalangan pelayar Twitter malah turut dikongsi beberapa portal di Facebook.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan