Doakan ayah saya – Firdaus Ismail

“JIKA diizinkan doktor, insya-Allah ayah akan dibenarkan pulang esok untuk kami (keluarga) jaga di rumah.”

Demikian maklum balas ringkas Mohd Firdaus Ismail ketika ditanya mengenai perkembangan terkini bapanya, Datuk Ismail Kamus selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 26 April lalu.

Mohd Firdaus berkata, dia dan keluarga sedang melakukan persiapan sewajarnya sebagai persediaan jika bapanya dibenarkan pulang ke rumah esok.

Terdahulu, beliau turut memohon orang ramai menitipkan doa buat Ismail yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HKL.

Memaklumkan perkara itu menerusi mesej di WhatsApp pagi tadi, Mohd Firdaus berkata, beliau difahamkan oleh doktor pada malam tadi bahawa berlaku sedikit gangguan pada bapanya.

“Terdapat sedikit serangan jantung, strok ringan, tekanan darah rendah, jantung pun lemah dan jangkitan kuman di paru-paru ayah.

“Oleh itu, dengan rendah hati saya mohon supaya didoakan ayahanda saya sihat seperti sedia kala. Semoga doa kalian dimakbulkan dan kita semua diberi keampunan pada bulan yang mulia ini,” katanya mengakhiri mesej terbabit.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia hari ini, Exco Penerangannya, Abdul Hadi Jusoh berkata, Ismail dimasukkan ke wad pada 26 April lalu susulan keadaan kesihatan yang agak lemah sebelum dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai terdapat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.

Menurutnya, buat masa ini Ismail masih dalam keadaan lemah dan sedang melalui proses rawatan serta pemantauan di ICU HKL.

“Sama-sama kita doakan semoga Allah mengembalikan kesihatan yang baik pada Tuan Guru Datuk Ismail Kamus untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Mudah-mudahan doa kita semua di bulan Ramadan ini Allah makbulkan,” katanya.