COVID-19: Thailand catat 15 kes baru, kematian sifar

Seramai 2,490 pesakit telah pulih dan didiscaj dari hospital manakala 314 masih dirawat. – Gambar fail/AP

BANGKOK: Thailand merekodkan 15 kes baharu COVID-19 dan kematian sifar, menjadikan jumlah keseluruhan 2,854 kes dan 50 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata seramai 2,490 pesakit telah pulih dan didiscaj dari hospital manakala 314 masih dirawat.

Beliau berkata 10 daripada 77 wilayah tidak merekodkan kes baharu bagi tempoh 28 hari.

"Jangkitan daripada kluster yang aktif masih berlaku di wilayah Chonburi, Phuket, Pattani, Yala dan Chumpon dan setiap kluster melibatkan antara lima dan 51 individu yang dijangkiti," katanya dalam taklimat harian COVID-19 hari ini.

Beliau berkata empat daripada 15 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu adalah dari Yala, Selatan Thailand iaitu lokasi pihak berkuasa aktif menjalankan ujian COVID-19.

Thaweesilp berkata pihak berkuasa kesihatan juga sedang memperhebatkan ujian makmal.

Ketika ini, beliau berkata terdapat 123 makmal di seluruh negara – di hospital awam dan swasta untuk ujian COVID-19 dengan 10,000 sampel di Bangkok dan 10,000 lagi di wilayah lain.

Thaweesilp berkata sejak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dari 10 malam hingga 4 pagi pada 4 April lepas, seramai 12,830 yang ingkar perintah itu termasuk 10,858 yang meninggalkan kediaman dan 1,972 berkumpul dalam kumpulan besar.

"Kumpulan terbesar berumur antara 19 hingga 30 tahun," katanya.

Sementara itu, Thaweesilp berkata seramai 2,589 warga Thai telah kembali sejak pembukaan semula sempadan darat di negara itu, kebanyakan mereka masuk melalui pusat pemeriksaan sempadan di selatan.

"Kami menjangkakan lebih 2,500 warga Thai akan pulang melalui pusat pemeriksaan sempadan darat esok sehingga 30 April," katanya.

— BERNAMA