SEJAK awal tahun ini, nama pelakon kacak, Redza Rosli kembali diperkatakan peminat drama Melayu.
Bukan kerana rupa paras dan penampilan semata-mata, tetapi lakonan mantap ditunjukkan Redza membuatkan ramai mulai jatuh cinta.
Malah, kehebatan Redza pada setiap watak yang dilakonkan menjadikan dirinya bahan bualan ramai termasuk pada kalangan warganet.
Ada yang memuji, tidak kurang juga yang mengeji disebabkan karakter dilakonkan itu. Terutama watak Hazill Wafiy dalam drama terbitan Orange Tree, Rindu Yang Terindah yang ditayangkan di slot Samarinda, TV3.
“Alhamdulillah, saya mendapat pelbagai maklum balas menerusi watak dan drama ini. Pada awalnya ramai yang marah dan benci dengan Hazill Wafiy.
“Saya anggap ia sesuatu yang positif, sekali gus membuktikan lakonan itu memberikan kesan dalam diri mereka. Kalau baca di ruangan komen dan video yang peminat muat naik di IG Story, rasa terharu pun ada.
“Saya tidak menjangka drama ini mendapat sambutan hangat sehingga trending di Twitter pada setiap episod,” katanya.
Drama adaptasi daripada novel Derita Terindah arahan Pian Skrew itu bakal tiba ke penghujung yang mana episod terakhir ditayangkan hari ini, pada jam 10 malam.
Redza berkata, dia menghargai setiap sokongan dan kata-kata yang diberikan kepadanya sepanjang drama itu bersiaran.
“Ramai menjangka episod terakhir Khamis lalu sebab dalam promo kata minggu akhir. Tapi, episod terakhir hari ini yang mana bagi menggantikan satu hari yang tiada tayangan kerana ketika itu TV3 menayangkan konsert sempena hari jadi Lazada.
“Apa pun, saya berharap peminat dan penonton berpuas hati dengan drama ini. Saya sangat menghargai setiap komen mereka. Saya tak ambil hati pun kalau ada yang marah. Saya tahu itu hanya eskpresi sementara.
“Terima kasih pada TV3 dan seluruh produksi atas kerjasama yang baik sepanjang penggambaran dibuat,” katanya.
Semakin laris
Sebelum drama Rindu Yang Terindah, Redza muncul dalam drama Seadanya Aku di slot Akasia TV3.
Dalam masa sama, lakonan Redza juga ‘back to back’ menerusi beberapa telefilem di slot Cerekarama TV3 selain sebuah lagi drama lakonannya iaitu Hero Musim 2 ditayangkan di RTM.
“Alhamdulillah, saya anggap ini semua rezeki. Sebelum ini orang selalu tanya kenapa jarang berlakon, ketika itu bukan rezeki saya.
“Tahun ini, diakui jadual kerja saya padat. Saya nak berterima kasih kepada penerbit dan stesen TV yang sentiasa percaya pada bakat saya.
“Lagi pula dari dahulu sampai sekarang, saya jenis yang memberi fokus kepada kerja berbanding cerita peribadi. Mungkin sebab itu juga mereka senang bekerja dengan saya,” katanya.
Menurut Redza, apa yang dimiliki sekarang adalah bukti pembabitannya dalam bidang lakonan sejak 2009 berlandaskan kepada kredibiliti dan bakat.
“Setiap orang, lain cara pendekatan dan pembawaan. Macam saya, dari awal lagi fokus pada kerja. Kalau ada gosip pun, saya malas nak layan dan ambil tahu.
“Dari situ, saya didik diri untuk dahulukan kerja. Saya mahu mendapat kepuasan dalam bekerja dengan cara itu. Biar orang kata lambat popular, asal saja saya tahu di mana kedudukan saya.
“Malah, saya sentiasa percaya apabila kita ikhlas dalam bekerja, kejayaan akan muncul juga. Saya lebih suka orang bercerita mengenai saya kerana lakonan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Redza bakal terbabit dengan dua drama terbitan Zeel Production iaitu Juliet dan Dayang Senandung bagi tayangan RTM.
Penggambaran dijalankan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilaksanakan kerajaan.