Hotel dah jadi ‘rumah hantu’

RESORT, hotel, rumah tamu mahupun inap desa sering menjadi pilihan ramai selepas menetapkan destinasi percutian masing-masing.

Premis penginapan pelancongan itu tidak pernah sunyi menerima kunjungan pelancong saban tahun terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.

Malah, menjadi kelebihan bagi pengusaha yang dapat memberikan kemudahan lebih selesa pada harga promosi.

Namun begitu, kebanyakan tempat penginapan ketika ini ibarat ‘rumah hantu’ selepas tidak menerima kunjungan tetamu kesan pandemik Covid-19 sehingga ada antaranya terpaksa gulung tikar berikutan menanggung kerugian besar.

Covid-19 dilihat bukan saja mengancam sektor kesihatan dan ekonomi, bahkan sektor pelancongan yang paling teruk terjejas khususnya industri perhotelan.

Perkara itu diakui Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan berdasarkan kaji selidik yang dilakukan, hotel tidak mencatat keuntungan serta menanggung kerugian sepanjang tahun ini, bahkan dijangka berlanjutan sehingga tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yap Lip Seng berkata, kajian itu mencatatkan 50 peratus pengendali atau pemilik hotel mempertimbangkan untuk menutup premis iaitu 15 peratus ditutup secara kekal dan 35 peratus sementara.

Menurutnya, kaji selidik MAH juga mendapati 20 peratus pekerja sudah diberi potongan gaji manakala cuti tanpa gaji (26 peratus) dan diberhentikan kerja (enam peratus).

KEBANYAKAN tempat penginapan ketika ini ibarat ‘rumah hantu’ selepas tidak menerima kunjungan tetamu.
KEBANYAKAN tempat penginapan ketika ini ibarat ‘rumah hantu’ selepas tidak menerima kunjungan tetamu.

“Selain itu, tinjauan ke atas 324 hotel seluruh negara menunjukkan 93 peratus memerlukan minimum enam bulan subsidi upah daripada kerajaan untuk bertahan dan selebihnya meminta subsidi lebih tinggi daripada jumlah yang ditawarkan kerajaan.

“Subsidi itu perlu dilaksanakan segera kerana dibimbangi semakin banyak hotel akan ditutup.

“Majikan meminta subsidi minimum RM1,200 untuk pekerja berpendapatan kurang RM4,000 dan tambahan 30 peratus subsidi untuk pekerja berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sehingga Disember ini. Ia membolehkan majikan mengekalkan tenaga kerja sepanjang tempoh itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya mengenai jumlah hotel yang sudah menghentikan operasi, Lip Seng berkata, pihaknya tiada data itu kerana ia maklumat sulit syarikat terbabit.

Oleh itu, mengambil kira peranan industri perhotelan dalam sektor pelancongan dan sumbangan kepada ekonomi negara, beliau meminta beberapa pengecualian diberikan pihak berkaitan kepada industri perhotelan untuk memberi ruang mereka bangkit semula.

Katanya, antara pengecualian adalah faedah pinjaman, bayaran kepada Music Rights Malaysia Berhad (MRM) dan penilaian hartanah.

“Pengecualian itu dapat mengurangkan kerugian dan bebanan dihadapi industri disebabkan kerugian perniagaan akibat wabak Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kerajaan menyediakan dana khas menerusi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) untuk membantu semula industri perhotelan.

Katanya, penyediaan dana khas itu akan membantu pemulihan segera industri perhotelan terutama daripada segi pemasaran dan promosi dengan kerjasama pihak kerajaan termasuk Tourism Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19