Darurat bukan rampasan kuasa tentera

Kuala Lumpur: Pengisytiharan darurat sehingga Ogos ini bukan bentuk rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan awam sebaliknya akan terus berfungsi seperti sedia ada dan tidak akan terganggu.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas diperdengarkan cadangan daripada Kabinet, semalam.

“Sepanjang tempoh ini, pilihan raya umum (PRU) mahupun pilihan raya kecil tidak akan diadakan. Parlimen dan Sidang Undangan Negeri juga ditangguhkan,” katanya dalam pengumuman khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.

Menurutnya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan yang akan berbincang dan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas enam negeri selama 14 hari bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari, manakala enam negeri lagi dikenakan PKP Bersyarat dan dua negeri PKP Pemulihan.

Berita berkaitan

Agong perkenan darurat sehingga 1 Ogos 2021