Memetik laporan BBC, tiga pantai termasuk Pantai Marouba dibuka semula dengan peluncur ombak kelihatan sudah berpusu-pusu ke pantai berkenaan.
Senaman turut dibenarkan di pesisiran pantai tersebut.
Bagaimanapun, Pantai Bondi yang terkenal dan menjadi antara tarikan pelancong di bandar raya berkenaan masih ditutup.
Keputusan pembukaan semula beberapa pantai menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat tempatan kerana kawasan itu merupakan lokasi panas dan memudahkan penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, keputusan tersebut juga mencerminkan perasaan segelintir lagi masyarakat yang menginginkan keadaaan kembali normal memandangkan jumlah kes positif COVID-19 telah menurun.
Setakat Ahad, tiga negeri terbesar, New South Wales, Victoria dan Queensland hanya mencatatkan tujuh kes baharu.
Namun, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata sekatan dan penutupan premis perniagaan akan dikekalkan sekurang-kurangnya buat empat minggu lagi.