BERWAJAH ayu, kacak dan kemas seperti rakan sejawat mereka di penerbangan komersial, namun pramugara serta pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai nilai tambah boleh dihantar berperang sekiranya keperluan mendesak.
Pegawai Waran Udara II Mohd Ridzuan Mohd Rozali, 37, berkata, tidak ramai mengetahui bahawa TUDM turut memiliki pramugara pramugari yang berpusat di No 2 Skuadron Pangkalan Udara Subang.
Berasal dari Baling, Kedah, dia yang sudah berkhidmat dalam TUDM selama 18 tahun berkata, kru itu dibentuk khusus memberi khidmat kepada pemimpin negara seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri serta orang kenamaan selain untuk pemimpin asing sepanjang penerbangan menggunakan aset angkatan pertahanan itu.
“Aset bagi kegunaan keluarga dan kerabat diraja serta golongan kenamaan yang terdapat di No 2 Skuadron ialah dua kapal sayap putar iaitu helikopter Agusta Sikorsky AS61N1 dan Blackhawk S70A-34 serta dua pesawat sayap kaku iaitu Falcon 900 dan Global Exspress BD700.
“Orang ramai mungkin tertanya-tanya macam mana nak ceburi kerjaya pramugara pramugari ini. Skopnya sama, pengambilan seperti tentera biasa sebelum terpilih dalam kalangan Perajurit Muda TUDM.
“Saya dari awal tak pernah pun bercita-cita untuk menjadi seorang pramugara walaupun sebelum menyertai TUDM saya pernah menaiki penerbangan dengan pesawat komersial,” katanya.
Pramugara pramugari tak terlepas daripada penerapan disiplin ketenteraan seperti berkawad dan pada masa sama kru penerbangan TUDM itu turut mendapat kursus daripada syarikat penerbangan komersial termasuk bercatwalk, berpenampilan dengan tata hias diri serta perkhidmatan kabin.
Bagi Sarjan Udara Wanita, Nurbahiyah Abd Ghani, 26, katanya sebagai pramugari mereka juga dilengkapkan dengan ilmu kabin termasuk etika berjalan, duduk malah cara memegang beg dan makan.
“Antara perbezaan kami dengan rakan sejawat di pesawat komersial adalah mereka tidak perlu berkawad. Kami tentera, jadi kami perlu latihan ketenteraan seperti kawad, berjalan lasak 10 kilometer, masuk hutan dan berkemahiran dalam persenjataan.
“Sebenarnya saya tak terfikir pun nak jadi pramugari. Saya masuk askar pun emak saya yang suruh. Saya nak jadi cikgu. Apabila menyertai TUDM menjalani enam bulan latihan rekrut kemudian saya terpilih diserap KU (Kuartermaster Udara).
“Saya mulanya terfikir KU ini apa? Nak jadi KU kena catwalk sikit. Orang cakap pramugari…saya tak tahu pun ada pramugari dalam TUDM,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan dan berasal dari Jitra, Kedah itu.
Pramugara helikopter, Pegawai Waran Udara Mohd Suhaidi Abd Karim, 36, pula berkata, tugasnya tidak sekadar memberikan khidmat kepada golongan kenamaan malah perlu memastikan keadaan helikopter berada dalam keadaan baik sebelum melakukan penerbangan.
Memperincikan tugas itu, katanya yang berasal dari Baling, Kedah, dia bertanggungjawab melakukan pemeriksaan prapenerbangan terhadap helikopter termasuk sukatan minyak serta seluruh badan kenderaan udara itu.
“Saya periksa daripada depan sampai belakang. Enjin sehingga panjat ke atas helikopter untuk memeriksa keadaan bilah. Di dalam penerbangan pula, tugas pramugara akan menyampaikan maklumat kepada juruterbang jika ada permintaan daripada penumpang kenamaan contohnya untuk pendaratan khas di mana-mana lokasi.
“Sama juga jika berlaku kecemasan atau pun cuaca ribut, saya akan berinteraksi menggunakan interkom bersama juruterbang dan saya akan beritahu kepada penumpang kenamaan.
“Tugas pramugara sewaktu nak mendarat di mana-mana lokasi pula, saya akan pastikan kawasan itu selamat dan memberi panduan kepada juruterbang. Jika di bawahnya ada halangan seperti benda tajam, menyelaraskan helikopter ini untuk ke kanan atau kiri, ke belakang atau ke depan,” katanya.
Flait Sarjan Munerah Mohd Noor, 35, berasal dari Alor Setar, Kedah pula menjelaskan mereka juga perlu menjalani kursus protokol termasuk mempelajari adab serta laras bahasa istana untuk berhadapan tetamu atau penumpang golongan raja.
“Pengalaman menjadi seorang pramugari TUDM, bagi saya ia sesuatu yang menyeronokkan sebab penumpang biasanya terdiri kerabat diraja.
“Saya kena belajar menjadi seorang yang profesional, beretika dalam bersosial termasuk dari bercakap menggunakan bahasa istana serta tatatertib kita mengadap Tuanku.
“Pada masa sama kita akan dapat pengalaman pergi ke sesuatu tempat yang jika diikutkan nak sampai ke situ guna duit sendiri memang susah juga,” katanya.