Bintang masa depan

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir menggesa agar pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil dan memberi peluang buat bintang dalam pembikinan, Arif Aiman Hanapi diserapkan ke kem latihan pasukan negara pada 22 Mac ini.

Menurut Jamal, Arif memiliki bakat yang mampu dipertaruhkan dan tidak keterlaluan meletakkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebagai aset penting buat Malaysia pada masa depan.

Jelasnya, jaringan gol menarik dilakukan Arif ketika menentang UiTM FC Sabtu lalu adalah bukti bahawa pemain berusia 18 tahun itu mempunyai teknik, kelajuan dan ketenangan yang baik seperti seorang pemain senior.

“Saya setuju jika Cheng Hoe dapat panggil Arif untuk dia bersama-sama menjalani latihan dengan pemain senior. Jangan ingat Arif sesuai untuk pasukan bawah 22 atau bawah 19 tahun saja, tetapi dia juga sesuai untuk diserapkan dalam pasukan senior.

“Kita kena ingat, bila pemain lebih muda bercampur dengan pemain senior, ia boleh memberi kematangan dan pendedahan yang bagus buat pemain muda itu.

“Inilah cara sebenar dan dulu pun masa zaman saya bermain, kita pun ramai pemain muda dalam pasukan senior. Contoh macam Zainal Abidin Hassan, dia baru 17 tahun tapi dah bermain di peringkat tertinggi.

“Saya pun dulu umur 17 tahun dah masuk skuad Malaysia B. Dari situ saya terus meningkat dan jadi lebih matang. Kena ingat, main bola ini tak lama paling kurang pun 10 tahun, ajdi kalau pemain itu cepat matang itu lebih bagus,” katanya.

Pada aksi Sabtu lalu, Arif yang masuk menggantikan Safawi Rasid pada awal permainan berjaya mencipta impak apabila menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-11.

Golnya itu dianggap sempurna apabila tenang menggelecek dua pertahanan lawan sebelum menyudahkannya dengan tendangan leret umpama gol-gol cantik yang sering kelihatan di kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Malah, gol itu turut meletakkan Arif sebagai penjaring termuda Liga Super buat JDT iaitu pada usia 18 tahun 10 bulan untuk memintas rekod dipegang Hadin Azman yang dilakukan ketika berusia 18 tahun 11 bulan pada 2013.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, Arif harus diberi peluang diturunkan dalam aksi-aksi liga berdepan lawan lebih kuat seperti Selangor FC mahupun Terengganu FC untuk membina keyakinannya.

“Arif ada kawalan bola, ketepatan, ketangkasan dan kelajuan yang baik.

“Tapi saya lebih mahu lihat dia beraksi menentang lawan lebih kuat lagi untuk menguji kemampuannya. Jika dia dapat keluar dari kepompong remaja ke senior dengan baik dalam liga, itu perkembangan yang baik untuknya

“Tapi dalam masa sama, kita tak mahu sentuhannya hilang tiba-tiba ketika dia baru nak naik seperti berlaku kepada Luqman Hakim ketika bersama pasukan Sukan Sea di Filipina dulu,” kata Sadek.